Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok dikhabarkan menjadi buruan beberapa kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini setelah menampilkan prestasi terbaik bersama Petaling Jaya City.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana ada cubaan yang dilakukan oleh beberapa kelab Liga Super bagi membawa masuk pemain itu walaupun saingan musim 2022 masih belum berakhir selain jendela perpindahan sudah ditutup.

Darren Lok Anggap 2022 Musim Terbaik Buat Dirinya

“Perkembangan Darren Lok pula sebenarnya beliau ada menerima lamaran daripada beberapa kelab ketika ini. Ada pasukan berstatus besar dan ada juga pasukan biasa tetapi semuanya beraksi di Liga Super.

Meskipun banyak kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, Darren dikhabarkan lebih berminat untuk menyertai pasukan yang boleh menjanjikan minit permainan yang secukupnya kepada pemain itu.

Kontrak pemain berusia 31 tahun itu bersama Petaling Jaya City difahamkan akan tamat pada tahun ini dan beliau mempunyai pilihan sama ada terus beraksi bersama PJ ataupun mencuba cabaran lain bersama pasukan baharu musim hadapan.

Darren Lok menjadi penyerang tempatan terbaik dalam saingan Liga Super dimana setakat ini, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu itu menjaringkan 8 gol. Catatan ini sudah melebihi jumlah jaringan Baddrol Bakhtiar pada musim 2021 yang mana bekas pemain Kedah Darul Aman itu menjaringkan 7 gol sepanjang musim.

Darren perlu lebih bijak dalam memilih pasukan baharunya musim hadapan sekiranya memutuskan untuk berhijrah kerana beliau merupakan salah seorang penyerang skuad kebangsaan yang menjadi pilihan ketua jurulatih, Kim Pan-gon. Darren perlu beraksi bersama pasukan yang boleh memberikan minit permainan yang cukup baginya untuk memastikan beliau sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Pada aksi kelayakan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, Darren menjaringkan satu gol ketika menentang Bangladesh pada aksi terakhir peringkat kumpulan dan membantu Malaysia memenangi perlawanan sekaligus melayakkan diri ke temasya Piala Asia tahun hadapan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Super musim 2022 di sini:

Tiga Calon Ketua Jurulatih Perak Musim Hadapan

Tan Cheng Hoe Bakal Kendalikan Perak Musim Hadapan